Saturday, October 14, 2006

Bersabarlah Ya Ikhwan!!!

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya dapat lagi kita merasai nikmat iman dan islam. Selawat serta salam penghormatan kepada nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, contoh tauladan kita yang terbaik. Seterusnya, selawat serta salam kepada ahlul bait, para sahabat, para tabi'in, para tabi' tabi'in dan golongan yang terus beristiqomah, beriltizam dan beristimrar melaksanakan perintah Allah.
Bersabarlah Ya Ikhwan (Bersabarlah wahai saudara)!!!
Dalam kita mengharungi hidup di dunia yang fana ini, kita tidak akan terlepas daripada segala macam cubaan, dugaan dan ujian yang pastinya sedikit sebanyak akan menggugah iman dan keyakinan kita.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah (2) Ayat 155:
"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."
Antara dugaan yang pasti kita akan tempuhi ialah dugaan masa. Masa merupakan suatu elemen yang amat penting untuk dijaga. Kata Hassan Al-Banna: "Masa yang kita ada sebenarnya tidak cukup berbanding tanggungjawab yang kita galas." Contohnya, sibuk dengan tugasan akademik, tugasan dakwah, ujian, kuiz, tutorial, perbincangan dalam kumpulan, projek dan lain-lain. Firman Allah SWT dalam Surah Al-'Asr (103): Ayat 1-3:
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran."
Jadi, bersabarlah kita dan yakinlah dengan qada' dan qadar Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran (3) Ayat 200:
"Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung."

No comments: